GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@nstp.com.my

ENGGAN memberikan wang, lelaki parah di kepala selepas diketuk bekas teman wanitanya menggunakan tukul besi di Jalan Kapitan Keling, Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa lelaki warga India berusia 24 tahun mengalami pendarahan dalam otak dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Menurut sumber, mangsa yang juga juruwang di kedai serbaneka ketika itu sedang bekerja di premis terbabit sebelum didatangi bekas teman wanitanya.

“Ketika itu, wanita terbabit datang ke premis berkenaan dan mangsa yang tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk membuka pintu.

“Namun wanita terbabit secara tiba-tiba menyembur sejenis cecair ke muka mangsa menyebabkan matanya pedih,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian terus melarikan diri ke biliknya di tingkat atas premis namun dikejar bekas teman wanitanya itu.

“Ketika berada dalam bilik berkenaan berlaku pergelutan antara mereka dan bekas teman wanitanya yang geram mengetuk kepala mangsa menggunakan tukul besi.

“Suspek juga cuba menikam mangsa menggunakan pisau namun lelaki terbabit sempat mengelak dan menjerit meminta pertolongan,” katanya.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek yang berusia 46 tahun.

“Polis juga turut merampas senjata yang digunakan suspek iaitu tukul besi dan sebilah pisau.

“Siasatan awal mendapati, suspek datang mencari mangsa dan cuba meminta wang kepadanya namun lelaki berkenaan enggan memberi kepadanya membuatkan dia berang,” katanya.

Menurutnya, suspek juga dikatakan tidak berpuas hati kerana mangsa memutuskan perhubungan cinta mereka.

“Wanita itu direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 4:30 PM