DADAH yang dirampas daripada suspek. FOTO Mohd Shukor Amin
Mohd Shukor Amin

DUA beranak dipercayai pengedar dadah ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM150,000 dalam serbuan di Taman Padu Permai dekat Sabak Bernam, semalam.

Pada kejadian 4 petang itu, suspek berusia 37 dan 64 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam dan risikan, sejak beberapa bulan lalu.

“Polis merampas dadah jenis syabu seberat 976.45 gram, heroin (64.55 gram), eramin 5 (30.49 gram) dan pil yaba (8.77 gram).

“Turut dirampas, dua penimbang, empat balang kaca diubahsuai, lima bungkusan plastik pelbagai saiz dan sejumlah tiub straw pelbagai warna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Nor Azmi berkata, pemeriksaan mendapati salah seorang suspek memiliki rekod lampau jenayah narkotik

“Hasil pemeriksaan ujian air kencing juga mendapati salah seorang daripada suspek positif methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 7:05 PM