TUANKU Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail. FOTO arkib NSTP
Muhammad Mustakim Ramli


RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berkenan menganugerahkan biasiswa kepada 50 penuntut peringkat Doktor Falsafah (PhD) di bawah Kerusi Jamalullail.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kerusi yang akan ditempatkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu akan memberi keutamaan kepada penuntut dari golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Jumlah yang akan diperuntukkan nanti dianggarkan sekitar RM5 juta, di mana bukan untuk penuntut dari Perlis sahaja, malah seluruh negara.

“Kriterianya siapa yang menerimanya akan diperincikan nanti. Ia mengambil masa yang tidak lama dan apabila ia selesai akan ada majlis khas antara Raja Perlis dengan penuntut terpilih ini,” katanya kepada media, tengah malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas menghadap Raja Perlis di Kuala Perlis.

Turut sama hadir, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Maszlee dalam pada itu turut berterima kasih kepada Raja Perlis kerana sudi menganugerahkan biasiswa berkenaan.

“Jumlah yang diperuntukkan sangat besar dan kami di kementerian dan UIAM amat berterima kasih dengan sokongan Tuanku dalam usaha membangunkan pendidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 8:50 AM