GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


NIAT baik pengurus kilang meminjamkan wang RM18,000 kepada rakan lama, minggu lalu membawa padah apabila terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai kenalannya.

Lelaki berusia 50 tahun itu, sebelum ini menerima panggilan daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai rakan lamanya dikenali Philip.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, panggilan diterima mangsa pada 3 September lalu dan suspek meminta untuk meminjam wang sebanyak RM18,000.

“Mangsa yang percaya itu adalah rakannya itu tanpa buat semakan, kemudian memasukkan wang berjumlah RM18,000 ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek pada Selasa lalu.

“Suspek memberitahu akan membayar kembali pinjaman itu pada Khamis lalu, namun selepas wang dimasukkan, mangsa terus gagal menghubungi suspek,” katanya dalam kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon lama yang digunakan Philip dan rakannya itu terkejut apabila diberitahu ada pinjaman wang dibuat.

“Selepas itu, baru mangsa sedar bahawa bukan Philip yang meminjam wang dengannya, sebaliknya pihak lain yang menyamar sebagai rakannya itu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang pegawai Jabatan Imigresen berusia 22 tahun kerugian RM3,850 selepas diperdaya lelaki yang menjual komputer riba tidak wujud di laman web jual beli popular.

“Kejadian bermula pada 23 Ogos lalu apabila mangsa tertarik dengan iklan penjualan komputer riba di lamanberkenaan sebelum menghubungi penjual.

“Mangsa bersetuju membeli komputer riba itu sebelum membuat dua kali pindahan wang menjadikan jumlah sebanyak RM3,850 ke dalam satu akaun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, selepas membuat bayaran, mangsa gagal menghubungi suspek sebelum membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam.

“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 11:44 AM