X
JARINAH menunjukkan gambar anaknya, Mohamad Nizam yang hilang ketika mendaki Gunung Gua Rimau. FOTO Adnan Ibrahim
JARINAH menunjukkan gambar anaknya, Mohamad Nizam yang hilang ketika mendaki Gunung Gua Rimau. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


“Kami sekeluarga berdoa semoga dia selamat dan menemui jalan pulang,” kata Jarinah Hassan, 55, ibu kepada Mohamad Nizam Ahmad Ansar, 29, yang hilang ketika mendaki Gunung Gua Rimau, dekat Kluang, sejak Sabtu lalu.

Jarinah berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu melakukan ekspedisi mendaki gunung sempena cuti hujung minggu dan kerap menyertai aktiviti sedemikian sejak berkerja di sebuah kilang di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di Kluang, kira-kira lima tahun lalu.

“Tiada sebarang tanda kelakuan pelik sebelum dia melakukan ekspedisi malah dia sentiasa gembira dan saya tidak menyangka dia boleh hilang walaupun bergerak dalam kelompok yang ramai.

“Mendengar cerita penduduk berdekatan gunung ini, saya dan suami, Ahmad Ansar Gentung, 57, yakin dia akan bertemu jalan pulang,” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), di Pusat Rekreasi Gunung Belumut, dekat Kluang, hari ini.

Kehilangan mangsa yang mendaki bersama 35 rakan hanya disedari pada 5 petang selepas terpisah daripada kumpulan berkenaan.

Kumpulan pendaki yang diiringi empat jurupandu tiba di puncak gunung berkenaan pada jam 1 tengah hari sebelum turun dan tiba di kaki gunung pada 4.15 petang.

Sebaik tiba di kawasan hutan di kaki gunung, Muhamad Nizam dikatakan masih ada bersama kumpulan itu namun dipercayai hilang kira-kira 5 petang.

Sebaik menyedari kehilangan mangsa, kumpulan itu berusaha mencarinya tetapi gagal menyebabkan mereka membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Operasi SAR, Asisten Superintendan Mohd Adzhan May, berkata operasi membabitkan 80 anggota terdiri daripada pasukan bomba dan penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit Elite Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Jabatan Perhutanan Daerah Kluang dan malim gunung.

“Hari ini adalah hari kedua operasi dijalankan membabitkan kawasan pencarian seluas kira-kira 1.4 kilometer membabitkan enam pasukan kecil.

“Satu pasukan khas juga ditempatkan di tempat kejadian untuk melakukan pencarian pada waktu malam dengan harapan mangsa dapat melihat cahaya daripada kumpulan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 2:25 PM
Kabinet Malaysia 2020