ANTARA ahli keluarga dan ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang hadir membuat bantahan di perkarangan mahkamah ketika permohonan sambungan reman balu CEO Cradle Fund di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Fazrik Kamarudin


PERINTAH reman terhadap balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan, yang maut dalam kebakaran di rumahnya Jun lalu, disambung tiga hari.

Majistret Nurulhuda Zakariya membenarkan tempoh reman sehingga Khamis itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik berkata, polis meminta tempoh dilanjutkan sehingga tujuh hari namun pihaknya meminta ia dikurangkan kepada tiga hari sahaja.

"Pihak polis meminta sambungan sehingga tujuh hari atas alasan ingin menjalankan siasatan lanjut.

"Namun kami membantah kerana proses soal siasat tidak boleh dijadikan alasan untuk memanjangkan tempoh reman," katanya kepada pemberita, hari ini.

Hisham juga akan mengemukakan bantahan terhadap penahanan dua anak balu CEO itu yang dikenakan reman tujuh hari semalam di Mahkamah Tinggi Shah Alam, esok.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, 14 Jun lalu.

Mangsa berkhidmat di Cradle Fund, iaitu syarikat bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan di negara ini, sejak 15 tahun lalu dengan jawatan terakhir sebagai CEO.

Pada 3 Ogos, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kes kematian Nazrin diklasifikasikan semula bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh selepas laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan wujud kesan petrol di lokasi kejadian, selain berdasarkan keputusan bedah siasat.

Pada 4 September lalu, polis menahan balu Nazrin, dan bekas suaminya, kedua-dua berusia 43 tahun, sebelum mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian Nazrin.

Semalam, dua anak tiri Nazrin direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan:

Bantah penahanan anak tiri CEO [METROTV]

Anak tiri CEO direman tujuh hari

Dua anak tiri CEO ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 3:05 PM