MOHAMAD Omar menunjukkan 'bidar' iaitu sejenis bot tradisi bagi masyarakat suku Brunei yang diukir daripada kayu. FOTO Poliana Ronnie Sidom
Poliana Ronnie Sidom


DUA nelayan dari Pulau Tanjung Aru, dekat Sandakanmemanfaatkan bahan buangan daripada kayu dan tempurung kelapa untuk dijadikan perhiasan dan peralatan, sekali gus menjadi pendapatan sampingan mereka.

Antara hasil kerja mereka termasuklah senduk, rehal, pasu, kayu pemotong daging atau 'sasaban' dalam bahasa Brunei dan perhiasan seperti keris, parang samurai dan sampan yang diperbuat daripada tempurung kelapa, kayu belian dan sejenis kayu daripada bakau yang dipanggil 'ngiri'.

Mohamad Omar, 60, berkata, kayu belian diperolehi daripada lebihan kayu untuk membina jambatan menghubungkan setiap rumah di perkampungan atas air itu, manakala 'ngiri' adalah kayu bakau yang sudah mati dikutip dari sekitar pulau itu.

Katanya, mereka mula terfikir untuk menghasilkan produk kraftangan itu selepas melihat banyak lebihan kayu belian tidak digunakan selain mempunyai kemahiran dalam pertukangan.

"Kayu belian sekarang sukar diperoleh dan harganya pula mahal. Jika di kedai, tiga meter saja harganya antara RM150 hingga RM300.

"Daripada kayu dibuang begitu saja, lebih baik buat sesuatu untuk tambah pendapatan," katanya ketika ditemui NSTP di Sandakan, baru-baru ini.

Mohamad dan rakannya, Ismail Mokti, 54, sejak 2010 giat mempamerkan bahan ukiran mereka pada setiap program kraf eksotika anjuran Muzium Negeri Sabah.

Mohamad berkata, kraf mereka kurang mendapat permintaan ketika ini kerana belum dikenali dengan jualan kraf hanya bergantung terhadap pameran yang disertai.

"Peralatan yang kami hasilkan sekarang adalah yang ringkas seperti senduk yang lebih laris pada setiap pameran," katanya yang merancang mahu mengukir kapal tarik untuk pameran akan datang berbanding cuma 'bidar' atau bot tradisi suku Brunei dan perahu naga dipamerkan ketika ini.

Sementara itu, Ismail berkata, beliau mampu memperoleh pendapatan sehingga RM700 hasil jualan pada setiap pameran disertai.

Katanya, beliau berharap hasil kerja tangan mereka mampu diangkat sebagai produk terbaharu Pulau Tanjung Aru yang ketika ini lebih dikenali dengan produk hasil laut dan dalam jangka panjang mampu menjadi tradisi masyarakat suku Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 12:58 PM