ANTARA kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan. FOTO ihsan Bomba
ANTARA kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan. FOTO ihsan Bomba
Norasikin Daineh


PEMANDU yang menyebabkan empat individu parah termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan di Jalan Sapulut-Tambunan-Donggongon di Kampung Babagon, Penampang, semalam disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, lelaki berusia 20-an itu gagal mengawal kenderaan yang dipandunya.

"Siasatan awal mendapati, Proton Saga dipandu lelaki itu dipercayai datang dari arah Inanam menuju Kibunut dan sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba pemandu gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke lorong sebelah menyebabkan bertembung dengan van dari arah bertentangan.

"Akibat kejadian itu, van dipandu lelaki berusia 30-an terbabit berpusing dan terlanggar sebuah lagi kenderaan lain yang berada di belakang van itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, ketiga-tiga pemandu tidak mengalami kecederaan serius namun empat penumpang van parah.

"Empat penumpang termasuk dua kanak-kanak berumur lima dan 11 tahun parah dan mereka dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pemandu yang menyebabkan nahas turut dibawa ke hospital untuk ujian sampel darah dan hasil ujian mendapati dia dipercayai di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 10:32 AM