KEBAKARAN di bahagian belakang rumah di Kampung Sungai Perling 4, Taman Perling, Johor Bahru mengakibatkan Selamah maut dalam kejadian itu, hari ini. FOTO ihsan bomba Johor.
KEBAKARAN di bahagian belakang rumah di Kampung Sungai Perling 4, Taman Perling, Johor Bahru mengakibatkan Selamah maut dalam kejadian itu, hari ini. FOTO ihsan bomba Johor.
Izlaily Nurul Ain Hussein


WANITA berusia 55 tahun meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Sungai Perling 4, Taman Perling, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 9.40 pagi itu, Selamah Suleiman, dikatakan membakar sampah di belakang rumahnya, namun api yang marak menyambar tilam lama diletakkan di belakang rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, mangsa dipercayai terhidu asap sehingga menyebabkannya pengsan sebelum terperangkap di kawasan kebakaran dan akhirnya meninggal dunia.

“Ketika kejadian, terdapat tiga orang di rumah iaitu mangsa, anak saudara serta anak lelakinya berusia 14 tahun.

“Anak saudara mangsa terjaga daripada tidur selepas terhidu asap dan terkejut apabila mendapati bilik dipenuhi asap lalu terus keluar dan melihat ia berpunca dari dapur.

“Anak saudara mangsa kemudian terdengar bunyi letupan dari belakang rumah dan apabila bergegas ke dapur rumah, dia mendapati mangsa terbaring di ruang dapur dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, anak saudara dan anak lelaki mangsa cuba memadamkan api yang marak di bahagian dapur selain menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, dengan bantuan jiran, mangsa berjaya dibawa keluar dari ruang dapur berkenaan.

“Pada 10.40 pagi, bomba tiba dan berjaya memadamkan kebakaran manakala kakitangan ambulans dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Suhaimi Jamal, berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 10.30 pagi.

Menurutnya, mangsa turut mengalami luka melecur kira-kira 30 peratus di bahagian depan dan belakang badannya.

Katanya, operasi ditamatkan pada 12.47 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 7:08 PM