Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kejadian mencederakan seorang lelaki di Jalan Dato' Abdullah Tahir, Johor Bahru, pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata kejadian 4 pagi itu dipercayai berlaku akibat tidak berpuas hati dengan bunyi hon kereta.

Beliau berkata, mangsa iaitu lelaki berusia 40 tahun dikatakan membunyikan hon apabila kereta dinaiki suspek keluar dari arah kiri jalan dan terus masuk ke hadapan keretanya.

“Mangsa memandu kereta Ferrari di jalan berkenaan dan secara tiba-tiba, kereta Mercedes Benz berwarna hitam dengan nombor pendaftaran tidak pasti keluar dari arah bahu kiri jalan dan terus memasuki laluan sama di hadapannya.

“Mangsa membunyikan hon terhadap pemandu kereta berkenaan, namun dua lelaki keluar dari kereta dan menyuruh mangsa keluar dari kenderaannya,” katanya.

Beliau berkata, apabila mangsa keluar dari keretanya, seorang suspek berbangsa Cina mengeluarkan pisau lipat dan menikam mangsa pada bahagian perut, tangan dan beberapa anggota badan lain berulang kali.

Katanya, seorang lagi suspek berbangsa India atau warga Pakistan menumbuk mangsa pada bahagian muka sebanyak tiga kali menggunakan tangan kanan.

“Kedua-dua suspek yang masih belum dapat dikenal pasti identiti dan kewarganegaraan itu kemudian melarikan diri.

“Mangsa memaklumkan pergaduhan berpunca daripada suspek yang tidak puas hati apabila dia membunyikan hon ke arah kereta suspek.

“Mangsa tidak mengenali suspek dan pertama kali berjumpa mereka,” katanya.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, mangsa parah pada lengan tangan kiri, luka di perut, badan dan sakit di bahagian kepala.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 9:48 PM
DUA lelaki yang dilihat menikam dan menumbuk pemandu Ferrari dalam kejadian di Jalan Dato' Abdullah Tahir, Johor Bahru, pagi Ahad lalu dan video kejadian berkenaan tersebar di media sosial. FOTO ihsan polis.