HASLIZA (dua dari kiri) bersama wakil penaja melepaskan spesies ikan patin dan pacu di Taman Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan DBKL
Wartawan NSTP


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan Taman Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur sebagai lokasi baharu untuk pemancing beriadah bersama keluarga sempena Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2018, Ahad ini.

Pertandingan memancing tahun ketujuh, siri enam anjuran DBKL yang diadakan bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia itu dijangka disertai 1,000 kaki pancing.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri, berkata hadiah keseluruhan wang tunai RM19,000 menanti peserta pertandingan.

Katanya, pertandingan bertemakan ‘Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera’ itu sememangnya dinantikan pemancing kerana mereka boleh memancing sambil beriadah bersama keluarga.

“Kami berharap spesies ikan bersaiz mega bakal dinaikkan pemancing selain dapat menghidupkan suasana tasik ini dengan kegiatan seumpama ini.

“Malah, kedudukan tasik yang indah, luas selain kepesatan pembangunan persekitaran menjadikan tasik ini tumpuan orang ramai untuk beriadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Hasliza Abdul Hamid serta wakil penaja Oyoshi , Blow dan IGLOO-UFL melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di tasik itu, antaranya patin dan jelawat bersaiz antara empat hingga lima kilogram seekor, hari ini.

Juara pertandingan akan membawa pulang RM5,000, diikuti naib juara (RM2,000), tempat ketiga (RM1,000), keempat (RM300), kelima hingga ke-10 (RM200), ke-11 hingga ke-100, menerima RM100 seorang.

Turut memeriahkan JPKL 2018 ini ialah rakan strategik bersama iaitu Oyoshi Green Tea, Igloo dan Blow.

Yuran RM35 dikenakan untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 penyertaan awal layak menerima cenderamata sumbangan penaja.

Pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini, dari 1 tengah hari hingga 9 malam dan esoknya kaunter dibuka pada 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Maklumat lanjut, layari laman Facebook: JORANKL atau hubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 atau 012-2846811.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 11:33 PM