Mohd Anwar Patho RohmanSyed Umar Ariff dan Fahmy Azril Rosli dan Esther Landau

Petaling Jaya: PKR sebulat suara menerima pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Parlimen Port Dickson, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, semua pemimpin PKR, termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tidak dipinggirkan dalam membuat keputusan berkenaan.

“Anwar sebut sekarang semua ‘kem Anwar’. Saya hendak sebut bahawa apabila sejumlah Ahli Parlimen menawarkan kerusi, beliau (Anwar) tidak tanya dari kem mana.

“Akhirnya, proses rundingan bermula dan semalam (kelmarin), kita bentang kepada Biro Politik dan semua anggota berpeluang memberi pandangan dan keputusan dibuat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, semalam.

Terdahulu, penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan mengosongkan kerusi berkenaan berkuat kuasa serta-merta.


SAIFUDDIN (kanan) bersama Danyal dan Rafizi pada sidang media khas di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, semalam.

Keputusan itu dibuat bagi membolehkan Anwar berpeluang menjadi Ahli Parlimen menerusi pilihan raya kecil (PRK) dan seterusnya menjayakan rancangan Pakatan Harapan (PH) untuk mengangkatnya sebagai Perdana Menteri kelapan.

Turut hadir Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Dr A Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.

Sementara itu, Rafizi berkata, keputusan Anwar memilih kerusi Parlimen Port Dickson dan bukan Parlimen lain bukan kerana bimbang tidak mendapat sokongan pengundi Melayu, sebaliknya untuk memenuhi konsensus dicapai PH.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 11:23 AM