MOHD Ali (kanan) ketika melawat jenazah Ahmad Huzaimy di Jabatan Forensik HRPB di Ipoh. -Foto IHSAN PDRM
Mohd Hafizee Mohd Arop


IPOH: Penolong pengurus pasukan sepak takraw Johor, Ahmad Huzaimy Mohamad, 37, meninggal dunia di rumah inap pasukan berkenaan di Taman Desa Putra Indah, Tanjung Rambutan, di sini, pagi ini.

Allahyarham berada di sini bersama kontinjen Johor bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 Perak 2018.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kematiannya kira-kira jam 4.05 pagi.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) untuk dibedah siasat dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ditemui.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan buat masa ini polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Difahamkan, jenazah mangsa akan dibawa ke Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 11:39 AM