Anwar sudah bersiap sedia untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson. FOTO EPA
Ifwan Tun Tuah

KEPUTUSAN Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Parlimen Port Dickson dibuat dengan mengambil kira semua aspek strategik dan sentimen, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, keputusan Ketua Umum PKR itu yang diumumkan semalam, adalah hasil perbincangan yang panjang dan mendalam.

“Anwar sudah mendapat mandat sebagai Presiden PKR, justeru penting untuknya kembali ke Parlimen kerana banyak isu yang memerlukan pimpinan beliau sebagai ‘Bapa Reformasi’, terutama yang berkaitan institusi Parlimen dan Malaysia.

“Selepas sekian lama hak beliau dinafikan untuk berperanan sebagai Ahli Parlimen, maka pengumuman ini memberi nafas yang segar kepada rakyat Malaysia terutama yang setia pada perjuangan reformasi,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

Pengosongan kerusi terbabit diumumkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya semalam, bagi membolehkan PH mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Aminuddin turut berkesempatan mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Danyal yang sanggup mengosongkan kerusi berkenaan.

Sehubungan itu beliau akan mengadakan mesyuarat PH dalam masa terdekat bagi membincangkan gerak kerja untuk memenangkan Anwar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu nanti.

Semalam, Aminuddin berkata, mereka yakin Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO tidak mampu memberi saingan sengit terhadap Anwar itu dan menjangkakan beliau mendapat sokongan besar pengundi kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 2:45 PM