MUHAMMAD Farhan Muhammad Shafee menjawab soalan media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Farah Marshita Abdul Patah


ANAK lelaki peguam terkenal Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan tidak pernah menyangka akan bertindak sebagai peguam bela dalam kes membabitkan bapanya.

Muhammad Farhan yang ditemui media selepas prosiding pendakwaan terhadap Muhammad Shafee di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berkata pihaknya yakin terdapat motif tersembunyi di sebalik pendakwaan berkenaan.

Katanya, walaupun tidak gembira dengan pertuduhan dikenakan terhadap Muhammad Shafee, namun beliau akan tetap memberikan sokongan penuh terhadap bapanya.

“Saya tidak pernah terfikir suatu hari nanti perlu menjadi peguam kepada ayah saya, namun saya tahu besar kemungkinan perkara itu mungkin akan terjadi.

“Setakat ini, kami berasa yakin selepas mengkaji kes ini,” katanya.

Muhammad Farhan berkata, pendakwaan terhadap Muhammad Shafee adalah kesan daripada tindakan bapanya membela bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, ia dipercayai bertujuan untuk tidak menggalakkan beliau mewakili Najib dalam kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

“Bagaimanapun, pada masa ini beliau (Muhammad Shafee) tidak akan menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan

Shafee nafi terima RM9.5 juta daripada Najib

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 4:57 PM