GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


NILAI ringgit berada pada paras terbaik berbanding dolar Amerika Syarikat pada masa ini kerana hanya mengalami penurunan sebanyak 2.2 peratus sejak akhir 2017.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, prestasi nilai ringgit jauh lebih baik berbanding mata wang asing lain seperti dolar Australia, rupiah Indonesia, yuan China, won Korea Selatan dan dolar Singapura yang masing-masing merosot sebanyak 9.9 peratus, 9.8 peratus, 5.6 peratus, 5.7 peratus dan tiga peratus bagi tempoh sama berbanding dolar Amerika Syarikat.

Beliau berkata, kekuatan relatif ringgit berbanding kebanyakan mata wang utama dunia jelas menunjukkan ramai pelabur tempatan dan antarabangsa yakin terhadap Malaysia walaupun berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Kerajaan yakin kedudukan nilai mata wang ringgit hanya akan bertambah baik dalam jangka masa sederhana selepas masalah-masalah hutang dan skandal-skandal Barisan Nasional (BN) seperti 1Malaysia Development Bhd (IMDB) dapat diselesaikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, prestasi itu sekali gus menafikan kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa nilai ringgit tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Katanya, dakwaan itu langsung tidak berasas kerana nilai ringgit tidak hanya ditentukan semata-mata oleh harga minyak mentah dunia.

“Beliau (Najib) sengaja mengambil kira faktor-faktor penting seperti kadar peningkatan kadar faedah dolar Amerika Syarikat, kemelut kewangan negara-negara membangun dan ketidaktentuan hala tuju ekonomi dunia akibat 'perang perdagangan' antara Amerika Syarikat dengan China.

“Bagaimanapun, beliau (Najib) gagal mengambil kira fakta bahawa mata wang negara menunjukkan prestasi amat baik di antara mata wang utama yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 6:14 PM