MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melawat tempat kejadian kanak kanak yang jatuh dari tingkat 17 di PPR Kota Damansara. FOTO Eizairi Shamsudin
Fazrik Kamarudin


KERAJAAN akan mewujudkan satu program khas berbentuk sistem sokongan komuniti untuk setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Program itu akan dimasukkan di bawah Dasar Komuniti Negara yang dirangka bagi memuatkan pelan tindakan komprehensif pembangunan komuniti di Malaysia.

Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin berkata, menerusi program yang dijangka akan dilancarkan hujung bulan ini, satu daripada perkara yang akan dilaksanakan adalah bagi membantu ibu bapa yang berhadapan masalah penjagaan anak terutama di kawasan perumahan kos rendah.

"Kita sedang rangka satu program bagi membantu ibu bapa dalam menguruskan anak-anak, perkara ini sudah menjadi satu isu kerana ibu bapa tidak mampu menghantar anak ke tempat asuhan dan mengupah orang gaji.

"Sehinggakan ada ibu bapa yang terpaksa mengharapkan anak yang lebih dewasa untuk menjaga adik kecil.

"Maka kita akan wujudkan satu pusat jagaan komuniti, menggunakan konsep penjagaan secara sukarela, yang mana ibu yang mempunyai masa terluang akan menjaga anak-anak di dalam komuniti mereka, dan apabila tiba masa ibu ini pula mempunyai urusan, ibu yang lain pula akan menjaga anak mereka.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menziarah keluarga kanak-kanak perempuan empat tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 17 di Blok A, PPR Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Zuraida berkata, pusat jagaan itu akan beroperasi antara tiga hingga empat jam, bergantung kepada keperluan.

"Kita juga akan memberikan insentif kepada mereka yang menawarkan diri untuk menyertai program berkenaan.

"Selain itu, kita mahu menggalakkan agar setiap komuniti itu bertanggungjawab dan prihatin terhadap setiap ahli di dalam komuniti," katanya.

Mengulas mengenai tragedi yang menimpa kanak-kanak itu, Zuraida berkata, pemasangan jeriji besi bukanlah satu penyelesaian.

"Kita perlu mencari punca kejadian ini, sebab itu bagi saya pemasangan jeriji bukan penyelesaiannya, puncanya ialah keluarga yang tidak mampu dalam hal penjagaan anak.

"Jeriji ini dilihat seperti penjara, kita tidak mahu perkara ini, kita akan selesaikan masalah dengan memahami punca masalah itu," katanya.

Dalam kejadian 7.10 pagi semalam, kanak-kanak perempuan empat tahun maut terjatuh dari tingkat 17 selepas dipercayai tergelincir ketika memanjat kerusi plastik di balkoni rumah yang tidak dipasang jeriji atas.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah kerana ibu bapanya keluar sejak 6 pagi untuk berniaga nasi lemak di Bukit Jelutong, Shah Alam, manakala kakak mangsa berusia 14 tahun keluar menghantar seorang adiknya berusia tujuh tahun ke sebuah tadika di Blok D PPR berkenaan.

Kronologi kejadian kanak-kanak maut akibat jatuh bangunan

2 Julai 2018:

Anak perempuan pemain bola sepak, Venice Elphi, yang berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima kediamannya di apartment Desa Wangsa Keramat, Jalan Datuk Keramat Hujung, Kuala Lumpur.

19 April 2018:

Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh di apartmen di Jalan Pantai, Batu 4, Port Dickson, Negeri Sembilan.

25 November 2017:

Kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemui mati terjatuh daripada tingkat sembilan pangsapuri di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.

23 Ogos 2017

Kanak-kanak perempuan warga Jepun maut akibat terjatuh dari tingkat 26 kondominium di Mont Kiara di Kuala Lumpur.

13 Februari 2017

Wanita terkejut apabila menyedari dentuman kuat didengarnya adalah bunyi tubuh kanak-kanak berusia enam tahun yang terhempas di kaki lima blok kediamannya, di Shah Alam.

7 November 2016

Kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut apabila jatuh dari tingkat empat di Flat Taman Putri, Kulai, Johor.

11 Jun 2016

Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan pangsapuri di Batu Caves, Gombak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 1:55 PM