ORANG ramai mengambil kesempatan membayar saman trafik susulan diskaun 50 peratus sempena sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Nazllie Zainul
Mohd Nazllie Zainul
cnews@nstp.com.my


ORANG ramai khususnya warga bandar raya dan daerah berhampiran mengambil peluang membayar saman trafik susulan pembukaan kaunter diskaun 50 peratus sempena Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, bermula semalam.

Tinjauan mendapati orang ramai mula berbaris menunggu giliran untuk menyemak dan membayar saman sejak seawal 7.30 pagi walaupun kaunter hanya dibuka pada 9 pagi.

Warga bandar raya, Mohammad Firdaus Diun, 36, mengakui menyambut baik inisiatif Polis Di Raja Malaysia (PDRM) itu bagi melunaskan tujuh saman trafik atas namanya sejak beberapa tahun lalu.

"Apabila disaman, kita adakalanya tidak mempunyai masa untuk membayarnya sehingga jumlah saman meningkat, sekali gus menyukarkan saya menjelaskan saman susulan kekangan kewangan.

"Sudah tentu bagi mereka yang mempunyai saman trafik tertunggak, ini peluang terbaik untuk menyelesaikan semua saman ini," katanya yang mengetahui mengenai potongan saman terbabit melalui radio.

Mohd Razlan Shah Dapsi, 33, pula berkata, dia datang dari Tuaran semata-mata bagi membantu membayar saman trafik milik adiknya yang berada di Lahad Datu.

"Saya harap pembukaan kaunter ini akan diteruskan selepas ini kerana pastinya ramai orang awam tidak berkesempatan datang ke sini untuk tempoh tiga hari ini," katanya.

Dibuka selama tiga hari bermula semalam sehingga esok, kira-kira 4,000 orang mengunjungi kaunter pembayaran dengan sebanyak RM129,700 kutipan saman trafik diperoleh setakat petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lebih 1.6 juta saman trafik tertunggak di seluruh negeri bagi tempoh 10 tahun sehingga Julai tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam yang bercadang membayar saman agar memeriksa saman masing-masing secara atas talian atau ke balai trafik berhampiran sebelum datang ke kaunter disediakan di Padang Merdeka.

"Ini antara langkah bagi mengurangkan kesesakan di kaunter semakan dan mereka tidak perlu beratur panjang untuk membuat bayaran.

"Bagi tempoh tiga hari ini, kita membuka dua kaunter semakan dan empat kaunter pembayaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 8:51 AM