Foto Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA kerana tidak diberikan wang yang diminta, anak sanggup bertengkar dengan bapanya sebelum mengamuk dan memecahkan cermin tingkap rumah mereka di Jalan Istana Kampung Lubuk Kawah, Jitra, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, suspek berusia 27 tahun itu baru pulang daripada rumah abang iparnya yang terletak berdekatan rumah bapanya untukk menghantar barangan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, suspek kemudian berjumpa bapanya di luar rumah dan meminta wang untuk membeli dadah.

Katanya, bagaimanapun bapa suspek enggan memberikan wang menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek bertindak memecahkan semua cermin tingkap rumahnya menyebabkan kerugian dianggar berjumlah RM3,000.

"Ketika kejadian, abang iparnya terdengar pertengkaran dua beranak itu sebelum terdengar bunyi kaca pecah dan terus keluar dari rumah untuk memeriksa kejadian.

"Bagaimanapun suspek sudah beredar dengan motosikal sebelum 10 minit kemudian dia datang semula dan mengambil tong gas di rumah mangsa untuk dijual," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ismail berkata, kejadian ini bukan kali pertama berlaku sebaliknya sudah beberapa kali dan suspek bertindak sedemikian kerana ingin membeli dadah.

"Abang ipar suspek kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Jitra untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 2:25 PM