NOR Syarmimi dan Muhammad Salman bergambar dengan rakan-rakan pada majlis perkahwinan mereka di Kampung Kubang Golok, Bachok, hari ini. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


“PADA mulanya ahli keluarga ketawa juga bila tahu tabiat isteri bersenam guna tong gas, tapi mereka ‘okay’ sahaja,” kata suami gadis tong gas, Muhammad Salman Ahmad Ali Oi, 25.

Muhammad Salman selamat diijabkabulkan dengan Nor Syarmimi Sallehudin, 25, dengan sekali lafaz di Masjid Mukim Kubang Golok, Bachok, jam 2.30 petang hari ini.

Lebih menarik, tong gas kuning milik Syarmimi yang digunakan untuk membuat senaman turut menjadi tumpuan tetamu yang menurunkan tanda tangan dan bergambar.

Nor Syarmimi sebelum ini tular kerana mengamalkan rutin senaman yang unik menggunakan tong gas kosong seberat 16.6 kilogram.

Muhamad Salman berkata, dia bagaimanapun akan terus menyokong minat isterinya kerana turut melakukan senaman angkat berat di gimnasium.

“Sebenarnya bagi pengamal kecergasan, rutin guna bebanan berat adalah perkara biasa kerana banyak alatan juga berat seperti tayar lori melebihi 20 kilogram, tapi perlu menggunakan teknik betul supaya tidak mendatangkan mudarat.

“Saya akan terus menyokong minat isteri, dan mungkin selepas ini boleh belajar dengannya,” katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan yang dihadiri lebih 1,000 tetamu.


NOR Syarmimi mengangkat tong gas sambil diperhatikan Muhammad Salman pada majlis perkahwinan mereka. FOTO Nor Amalina Alias

Sementara itu, Syarmimi berkata, dia bersyukur apabila majlis perkahwinannya berjalan dengan lancar.

“Suami juga peminat latihan kecergasan dan kami berkenalan ketika bersenam di sebuah gimnasium di Kota Bharu. Syukur... dia dan keluarga mentua tak pernah halang minat ini.

“Selepas berbulan madu di Royal Belum, Perak, Jumaat ini, saya akan kembali sibuk melatih pelajar yang mengikuti kelas kecergasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 7:16 PM