JANIN yang ditemui dalam lubang kumbahan najis di Projek Perumahatan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Murni, Batu 7, Sandakan, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Hazsyah Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


JANIN bertali pusat dengan uri ditemui dibuang di dalam lubang kumbahan najis di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Murni, dekat Batu 7, Sandakan, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, janin dianggarkan lingkungan empat bulan berkenaan gagal dikenal pasti jantinanya.

Difahamkan, janin terbabit ditemui dalam keadaan terendam dalam lubang kumbahan itu dan dipenuhi najis.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihak polis dimaklumkan penemuan janin itu lalu mengerahkan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Sandakan ke lokasi.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, pihak polis mendapati terdapat janin yang masih belum sempurna sepenuhnya dan masih berlekat pada uri berhampiran lubang kumbahan itu.

“Siasatan mendapati janin itu ditemui penduduk yang membersihkan lubang kumbahan yang tersumbat.

“Mereka menemui seketul ‘daging’ di dalam lubang kumbahan dan apabila dialihkan dan diangkat mereka mendapati ia adalah janin,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, orang awam kemudian membersihkan janin itu lalu menghubungi pihak polis.

“Janin itu dibawa ke Hospital Duchess Of Kent, Sandakan dan disahkan meninggal dunia kerana kelahiran pra matang,” katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 318 dibawah Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 7:50 PM