GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar


TINDAKAN polis menahan seorang pemuda yang dikatakan penghidap autisme bagi membantu siasatan berhubung kes cabul ke atas seorang gadis dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata tangkapan ke atas lelaki berusia 22 tahun itu dilakukan susulan laporan polis oleh mangsa yang dibuat pada 11 September lalu.

“Tangkapan dibuat oleh anggota Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) susulan pengecaman positif oleh mangsa berusia 24 tahun itu bersama saksi yang ada bersamanya ketika kejadian.

“Ia bertujuan untuk proses siasatan serta memberi keadilan kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak polis memberikan keutamaan terhadap kes itu dan siasatan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Keputusan siasatan akan diambil berdasarkan kewajaran hak kepada mangsa dan pemuda itu.

“Kita percaya tindakan yang diambil dalam melaksanakan siasatan kes ini berdasarkan SOP serta bertindak mengikut batas undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Katanya, orang ramai yang memerlukan penjelasan lanjut berhubung perkara itu boleh berhubung dengan beliau atau menghubungi talian Info Line Polis Selangor di talian 012-6009999.

Terdahulu, kejadian yang tular di media sosial itu menerima tindak balas negatif netizen yang mempertikaikan tindakan ibu bapa gadis terbabit yang membuat laporan polis walaupun keluarga pemuda itu sudah menjelaskan keadaan sebenarnya anaknya yang mengalami autisme.

Netizen turut mempertikai tindakan polis menahan pemuda itu, yang mana pihak berkuasa terbabit kemudian membuat permohonan reman untuk proses soal siasat.

Bagaimanapun, difahamkan permohonan reman ke atas pemuda itu ditolak mahkamah atas sebab keadaannya yang mengidap autisme.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila keluarga pemuda autisme berkenaan membawanya keluar makan malam di sebuah restoran kegemaran di Subang Jaya sempena ulang tahun kelahirannya pada 11 September lalu.

Menerusi posting bertarikh 12 September lalu di laman Facebook dipercayai milik ibunya, wanita itu mendakwa sebelum kejadian, anaknya berlari keluar dari restoran dan masuk ke beberapa kedai berhampiran.

“Memang menjadi kebiasaan dia berkelakuan demikian, namun kali ini situasi itu berbeza apabila saya tidak sedar apabila dia bertindak menyentuh dada seorang gadis sehingga gadis itu ketakutan dan keluarganya mahu membuat laporan polis.

“Walaupun saya cuba menerangkan keadaan sebenar anak saya (autisme) mereka tidak mahu menerima sebarang alasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 11:49 PM