GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani

POLIS mengesahkan menerima laporan mengenai cubaan dua lelaki menculik kanak-kanak di Taman Mawai, di Kota Tinggi, seperti yang tular di media sosial, semalam.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah, berkata, siasatan setakat ini mendapati kejadian tidak mempunyai petunjuk jenayah.

Malah, beliau memberi jaminan tahap keselamatan di daerah itu keseluruhannya dalam keadaan baik.

“Siasatan setakat ini mendapati tiada petunjuk berlakunya kejadian jenayah dan saya memberi jaminan penduduk (Kota Tinggi) bahawa keselamatan pada tahap yang baik,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Ashmon berkata, laporan polis mengenai kejadian itu diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, pada 10.45 malam semalam.

Terdahulu, satu laporan polis dikongsikan di media sosial mengenai cubaan culik kanak-kanak di Taman Mawai berdekatan Taman Aman, Kota Tinggi, pada jam 2.30 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 7:21 PM