GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa berkaitan penyelewengan kewangan dan pengagihan kontrak latihan bernilai RM4 juta membabitkan anak syarikat Felcra Berhad (Felcra).

Sumber memberitahu, suspek pertama yang juga pengurus kanan anak syarikat berkenaan berusia 53 tahun ditahan pada 6.20 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya manakala suspek kedua berusia 45 tahun ditahan pada 5.40 petang di SPRM Kelantan, selepas masing-masing hadir memberi keterangan.

Semalam, SPRM menyerbu 10 lokasi termasuk pejabat anak syarikat Felcra di Setapak, Kuala Lumpur berhubung kes itu.

Serbuan dijalankan serentak di sekitar Pantai Timur, Lembah Klang dan Perak.

SPRM turut mengambil sejumlah dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.

Sumber berkata, pengurus kanan anak syarikat itu dipercayai memanipulasi sebut harga, selain melantik syarikat luar dimiliki anggota keluarga termasuk anak menantu dan kenalannya bagi membekalkan tenaga pengajar, pakar latihan serta kursus dikendalikan anak syarikat itu.

“Salah guna kuasa itu dikesan sejak 2014 dan berlarutan sehingga kini membabitkan nilai projek berjumlah kira-kira RM4 juta.

“SPRM percaya masih ada beberapa lagi syarikat luar yang terbabit serta pengurus kanan itu disyaki menerima habuan pada setiap kontrak diperoleh," katanya.

Sumber berkata, seramai 15 individu dibawa ke ibu pejabat SPRM Putrajaya dan Kelantan untuk ditemu bual berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putajaya pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:51 AM