Norzamira Che Noh
cnews@nstp.com.my


TUJUH suspek dipercayai pengusaha kedai runcit yang menjual arak, hari ini, ditahan Polis Selangor susulan kes keracunan arak yang mengakibatkan 17 kematian di negeri itu sejak kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, tangkapan berkenaan dibuat menerusi 12 serbuan di premis-premis yang menjual arak di Bukit Kemuning dan Taman Seri Muda Shah Alam; Taman Sri Gombak; Taman Daya dan Taman Sri Ehsan Kuala Lumpur; Kampung Baru Subang (Seksyen U5 Shah Alam) serta Bandar Rinching, Semenyih Kajang.

"Suspek yang ditahan terdiri daripada lima lelaki iaitu dua warga tempatan, dua warga negara India, seorang warga Myanmar, manakala dua lagi suspek perempuan masing-masing warga negara Myanmar dan India.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 40-an dan dalam serbuan yang sama, polis turut merampas sebanyak 1,030 botol wiski pelbagai jenama termasuk Grand Royal Wiski dan Mandalay Wiski serta 1,767 tin bir jenama Valcano dan King Fisher," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibuat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam.

Sementara itu, Mazlan berkata, berdasarkan laporan yang diterima Polis Selangor sehingga 8 pagi ini seramai 50 mangsa dirawat di beberapa hospital sekitar Selangor.

"Daripada jumlah itu, 17 orang mangsa sudah meninggal dunia, 24 mangsa sedang dalam rawatan dan sembilan lagi sudah dibenarkan keluar hospital.

"Pecahan mangsa adalah, warga tempatan (empat orang), Myanmar (sembilan orang), Nepal (25 orang), Bangladesh (10 orang), India (dua orang).

"Mangsa yang maut pula seorang warga negara tempatan, Myanmar (tujuh orang), Bangladesh (dua orang), Nepal (lima orang), India (seorang) dan kewarganegaraan seorang lagi masih belum dapat dipastikan," katanya.

Mazlan berkata, ekoran daripada kejadian berkenaan, polis mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan iaitu mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang dan sebanyak 17 kertas siasatan sudah dibuka.

Berita berkaitan

[UPDATE] Empat lagi maut sebab arak beracun

[UPDATE] Mangsa beli arak di Bangi Lama...

[UPDATE] Angka maut akibat arak meningkat

[UPDATE] Lapan lagi disahkan maut

[UPDATE] Polis rampas arak di 'Pasar Bangla'

7 maut keracunan alkohol

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 2:06 PM
PEGAWAI dan anggota polis menahan dua penjaga kedai minuman keras yang dipercayai menjual arak yang mengandungi bahan Metanol di Jalan Selingsing 4. FOTO Muhd Zaaba Zakeria