Hazira Ahmad Zaidi


DUA beranak yang tinggal di pondok buruk serba daif di ladang getah di Gual Mesa, Rantau Panjang, sudah berpindah ke rumah sewa yang ditanggung seorang individu, sejak dua hari lalu.

Sulaiman Yassin, 53, dan ibunya, Eshah Mat, 77, kini tidak lagi di pondok usang itu apabila berpindah ke rumah berkenaan di Gual Mesa, yang jaraknya hanya dua kilometer dari pondok lamanya itu.

Rumah sewa didiami dua beranak itu atas ihsan seorang sukarelawan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) Kelantan.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas, hari ini membantu dua beranak terbabit dengan melakukan gotong-royong membersihkan rumah sewa dan persekitarannya.

Pegawai Kebajikan Masyarakat JKM Pasir Mas, Wira Mahmood, berkata seramai 20 sukarelawan dikumpulkan untuk kerja pembersihan itu membabitkan tiga unit utama iaitu Unit Perintah Khidmat Masyarakat (CSO), Pembangunan Komuniti dan Kebajikan Produktif.

“Dua beranak ini sudah tinggal di rumah sewa sejak dua hari lalu hasil sumbangan seorang individu prihatin dan kami mengambil keputusan untuk membersihkan kawasan sekeliling rumah sewa itu dengan memotong rumput dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan barangan keperluan harian seperti tikar, selimut dan toto untuk keselesaan dua beranak itu kerana rumah sewa baharu mereka masih belum mempunyai kelengkapan.

Turut hadir, Ketua Unit Kebajikan Produktif JKM Pasir Mas, Sharipah Marlini Sayeid Din; Penghulu Mukim Gual Mesa, Wan Muhammad Zain Wan Jaafar dan Penggerak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Third Force Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar.

Sementara itu, Sulaiman berkata, dia berterima kasih kepada individu bermurah hati menyediakan rumah sewa lebih selesa berbanding tempat tinggal didiami bersama ibunya sebelum ini.

“Dua hari lalu, penduduk sekitar membantu pak cik memindahkan barang masih boleh digunakan di pondok untuk dibawa ke rumah sewa baharu.

“Kehidupan saya dan ibu kini sudah berubah kerana kami tidak perlu lagi menggunakan pelita apabila tibanya waktu malam dan air parit untuk menjalani kehidupan harian,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Alhamdulillah, bantuan semakin banyak'

'Memang daif'

'[UPDATE] 'Kalau tak boleh tolong, jangan hina pula...''

'Pondok usang 'mahligai' dua beranak'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 3:22 PM
SULAIMAN memeluk Eshah sementara sukarelawan JKM Pasir Mas bergotong-royong membersihkan rumah sewa mereka selepas kedaifan hidup dua beranak itu yang tinggal di pondok usang di ladang getah di Gual Mesa, Rantau Panjang, mendapat perhatian ramai. FOTO Syamsi Suhaimi.