SITI Amsiah bersama Muhammad Afif Zulfiqar yang sembuh sepenuhnya daripada kanser darah atau leukemia ketika ditemui di Kuantan, hari ini. FOTO Shahrinnahar Latib.
SITI Amsiah bersama Muhammad Afif Zulfiqar yang sembuh sepenuhnya daripada kanser darah atau leukemia ketika ditemui di Kuantan, hari ini. FOTO Shahrinnahar Latib.
Shahrinnahar Latib


SIAPA sangka, seorang remaja yang dulunya dikatakan hanya boleh hidup enam bulan sahaja akibat kanser darah atau leukemia, kini mampu mengecap bahagia bersama keluarga tercinta apabila sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu.

Ketika doktor mengesahkan Muhammad Afif Zulfiqar Mohamad, 18, hanya mampu hidup enam bulan sahaja, ibunya, Siti Amsiah Kasiran, 49, tidak pernah putus asa dan sentiasa berdoa supaya anak bongsunya itu segera sembuh.

Siti Amsiah yang tinggal di Kampung Bukit Kuin, Kuantan, berkata, ia bermula ketika anaknya berusia 12 tahun, apabila sering demam hampir setiap bulan diikuti keletihan, penat melampau dan tanpa sedar itu adalah petanda awal leukemia.

“Ketika Muhammad Afif Zulfiqar berusia 13 tahun, keadaannya semakin teruk dan saya bawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor kemudian mengesahkan anak menghidap penyakit leukemia dan dia terus dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi meneruskan rawatan lanjut.

“Ketika rawatan, doktor di HKL memberitahu anak saya kemungkinan ada masa enam bulan sahaja untuk hidup menyebabkan saya terkejut dan tidak sangka anak saya yang sihat sebelum ini hanya boleh hidup enam bulan sahaja. Namun saya tidak pernah berputus asa,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata, dia bersyukur kerana pada September 2013, anaknya selamat menjalani pembedahan pemindahan sel tunjang sum-sum tulang daripada hasil derma seorang individu yang sehingga kini tidak dikenali.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada penderma berkenaan, walaupun bukan ahli keluarga, tetapi tindakan dilakukannya itu amat berharga bagi mereka sekeluarga.

“Anak saya yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana sudah menjalani banyak sesi kemoterapi ketika menghidap penyakit itu sehingga mengakibatkan rambutnya gugur.

“Malah ketika itu, dia tidak dapat menjamah makanan kerana mulut pecah, mengalami ulser teruk, tekak terasa perit dan sakit.

“Namun saya terus bersamanya dan sering memberi kata-kata semangat supaya dia terus dapat melakukan sesi rawatan.

“Alhamdulillah, selepas pembedahan itu dan sesi rawatan ditempuhinya, Muhammad Afif Zulfiqar akhirnya disahkan bebas daripada sel leukemia oleh doktor di HKL iaitu ketika berusia 15 tahun,” katanya.

Berikutan itu, Siti Amsiah menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak menghidap kanser supaya sentiasa bersikap positif apabila berhadapan dengan ujian terutama untuk melihat anak mereka sembuh daripada penyakit itu.

Katanya, ibu bapa perlu sentiasa kuat apabila berhadapan dengan ujian ini terutama untuk melihat anak mereka sembuh daripada penyakit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 3:40 PM