LOKMAN.
Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam mendakwa lebih ramai pemimpin UMNO akan mengikut jejak Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan parti.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook semalam, Lokman memberi jaminan langkah itu juga akan diikuti mereka yang berjawatan lebih tinggi di dalam UMNO.

Lokman yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baru berkata, tindakan keluar parti itu disifatkan sebagai tali barut dan ia sudah tersebar di dalam parti.

“Kita tidak perlu pergi terlalu jauh. Saya berani jamin ada lagi ahli MKT bersiap sedia meninggalkan parti,” katanya.

Beliau menggesa UMNO menerima apa yang berlaku sebagai peluang untuk membersihkan parti.

Menurut Lokman, penghijrahan membolehkan UMNO untuk meneroka sepenuhnya hubungannya dengan PAS sekali gus meningkatkan potensi untuk memenangi Pilihan Raya Umum akan datang.

“Janganlah kita berputus asa. Sekalipun seluruh MKT kita pergi, biarkanlah mereka. Saya percaya dengan kerjasama baru dengan PAS, kita akan dapat lebih banyak kerusi Melayu,” katanya.

Kelmarin, Mustapa mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu.

Mustapa berbuat demikian kerana mendakwa susulan hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 11:18 AM