A AZIZ
Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan meneliti salah laku dalaman membabitkan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dilapor bersekongkol dengan sindiket penyeludupan rokok.

Dalam Harian Metro, 30 Ogos lalu melaporkan sindiket penyeludupan rokok ‘berlesen’ dikesan berselindung di sebalik kegiatan mengeksport rokok ke negara jiran dengan menjadikan pelabuhan Pulau Pinang sebagai hab ‘lubuk emas’ bagi meraih keuntungan puluhan juta setahun dengan bantuan orang dalam.

Untuk rekod, kaedah ataupun modus operandi terkini itu digelarkan sindiket dan JKDM sebagai ‘borang terbang’.

Mengulas perkara itu, Pengerusi EAIC Datuk A Aziz A Rahim berkata, pihaknya akan meneliti sama ada wujud salah laku dalaman atau ketirisan penguatkuasaan oleh anggota penguat kuasa JKDM.

Menurutnya, EAIC juga memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tambahan berhubung laporan berkenaan untuk menghubungi Seksyen Aduan EAIC di talian 0388805651/5627.

Akhbar sebelum ini melaporkan tindakan ‘orang dalam’ JKDM yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan rokok untuk membawa masuk barangan berkenaan di pelabuhan utama negara termasuklah pelabuhan Pulau Pinang menyebabkan negara kehilangan kutipan cukai bernilai berbilion ringgit setahun.

Untuk rekod, rokok yang dimport dari beberapa negara seperti Taiwan, Vietnam, Kemboja dan Indonesia itu dikatakan akan dieksport pula ke Hatyai, Thailand menggunakan laluan darat seperti Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis.

Namun, dengan bantuan segelintir pegawai penguat kuasa tidak berintegriti dan ejen perkapalan, rokok yang sepatutnya keluar dari negara ini untuk kononnya dieksport, sebaliknya dilencongkan untuk pasaran tempatan yang dikatakan menguasai 10 peratus pasaran jualan rokok seludup keseluruhan di utara.

Bagi mengabui mata pihak berkuasa, ada rokok berkenaan dipasarkan untuk kedai bebas cukai di sekitar sempadan dan Pulau Langkawi.

Sindiket ini mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan memiliki pengerusi dan ahli lembaga pengarah tertentu serta perniagaan mereka adalah sah di sisi undang-undang tetapi disebabkan ada lompang dan kawtim yang dilihat mampu mengelak cukai, mereka ini aktif menjalankan kegiatan berkenaan.

Dalam erti kata lain, cukai yang dibayar tidak memadai atau setimpal dengan cukai yang dielak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 11:21 AM