Caption<KAMA Azural (kanan) menunjukkan iklan perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen yang dirampas selepas menahan seorang lelaki di Kuantan. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


POLIS menahan lelaki dipercayai ceti haram atau Along di Kuantan, kelmarin selepas memeras ugut seorang tukang masak dengan membaling telur dan menampal salinan kad pengenalan mangsa di hadapan kedai makan bapanya, awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, suspek ditahan selepas mangsa, 22, membuat laporan polis kerana Along itu mengenakan kadar faedah terlalu tinggi selain mengugutnya.

“Mangsa dikatakan membuat pinjaman sebanyak RM40,000 sejak sebulan lalu dan sudah membayar RM70,000. Namun, suspek mendakwa mangsa masih berhutang sebanyak RM10,000.

“Suspek dikatakan mengenakan kadar faedah antara 15 hingga 20 peratus seminggu kepada mangsa selain membaling telur serta menampal salinan kad pengenalan di hadapan kedai makan ayahnya di Kuantan.

“Tujuan suspek melakukan perkara berkenaan adalah sebagai amaran kepada mangsa supaya menyelesaikan bayaran pinjaman dengan segera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Kama Azural berkata, pihaknya menahan suspek di hadapan sebuah rumah pada 4 petang dan menemui mesin penghantar SMS di dalam keretanya yang bertujuan untuk mengiklankan tawaran pinjaman.

“Suspek menggunakan alat itu yang disambung kepada sebuah komputer riba untuk menghantar tawaran pinjaman wang tanpa lesen, secara rawak kepada pengguna telefon bimbit sekitar kawasan sasaran,” katanya.

Katanya, pihak polis merampas beberapa peralatan termasuk mesin penghantar SMS, sebuah komputer riba, dua telefon bimbit dan banting iklan pinjaman wang.

“Suspek itu direman mulai semalam sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran peminjam wang tanpa lesen kerana dikhuatiri mendatangkan ancaman kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 6:42 PM