MUHAMMAD Shafee. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Farah Marshita Abdul Patah

“ANDA akan tetap melihat saya di sini dan pihak berkuasa tidak boleh menghalang saya menjadi peguam bela Datuk Seri Najib Razak".

Demikian jawapan peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika ditanya apakah beliau akan meneruskan pembelaan kes membabitkan bekas Perdana Menteri yang didakwa atas 32 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

“Apa yang saya lihat sekarang mengesahkan apa yang beliau sudah nyatakan.

“Beliau tidak pernah mengubah kenyataannya kepada saya, walaupun sekali," katanya pada sidang media selepas pendakwaan terhadap Najib di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Shafee berkata, Najib memulangkan lebih 90 peratus dana yang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Katanya, walaupun tidak mengetahui pemilik asal wang berkenaan, beliau tetap memulangkan wang itu kembali kepada akaun pemiliknya.

“Pengembalian wang itu itu dinyatakan dalam pertuduhan.

“Dia tidak tahu siapa tuan punya akaun berkenaan, kecuali sangkaannya adalah ia dari Arab Saudi yang memberikan beliau sebagai derma untuk aktiviti politik memandangkan pilihan raya 2013 berlaku pada 5 Mei,” katanya.

Tambahnya lagi, selepas pilihan raya bermula Jun, Julai dan Ogos, wang berkenaan sudah mula dikembalikan.

Muhammad Shafee berkata, pendakwaan yang dilakukan terhadap anak guamnya adalah terdesak.

"Saya agak terkejut dan gembira, kerana pendakwaam ini tidak menunjukkan apa-apa secara mendalam dan jelas membuktikan pihak berkuasa terdesak untuk membawa pertuduhan berhubung 1MDB.

"Mereka membawa pertuduhan berkaitan dengan 1MDB hanya kerana terpaksa melaksanakan manifesto pilihan raya," katanya.

Najib hari ini tidak mengaku bersalah atas empat pertuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan membabitkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.

Bagi 21 pertuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Sebelum ini Najib menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah AMLA 2001 dan empat lagi pertuduhan pindaan berhubung RM42 juta dana SRC International dalam akaun peribadinya.

Berita berkaitan

Najib dibenar ikat jamin RM3.5 juta

Najib tak mengaku salah 25 pertuduhan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 7:57 PM