Zatul Iffah Zolkiply


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu mengesahkan video lelaki memandikan harimau yang tular di laman sosial sejak kelmarin adalah video lama dan tidak berlaku di negeri ini.

Pengarahnya Rahmah Ilias berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati ia adalah video lama.

“Berdasarkan cara percakapan di dalam video itu, lelaki terbabit bercakap dalam dialek Terengganu namun, siasatan mendapati ia bukan sahaja tidak berlaku di negeri ini malah, ia video lama yang ditularkan semula,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran video berdurasi dua minit 45 saat yang menunjukkan seorang lelaki memandikan harimau.

Dalam video itu juga, haiwan terbabit kelihatan jinak seolah-olah haiwan itu adalah kucing.

Menurut Rahmah, mereka yang ingin membela harimau perlu mempunyai permit khas dengan mendapat kelulusan daripada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

“Permit ini dikeluarkan untuk zoo dan bukan orang perseorangan dan jika ada yang membelanya tanpa permit khas, ia boleh disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 9:57 PM
PETIKAN rakaman video yang tular semula. PERHILITAN Terengganu mengesahkan video lelaki memandikan harimau yang tular itu adalah video lama dan tidak berlaku di negeri ini.