SULTAN Sallehuddin dan Sultanah Maliha bersemayam di Singgahsana Balai Besar.
BERNAMA

Alor Setar: Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ke-29, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang bakal berlangsung pada 22 Oktober depan, bermula semalam dengan Istiadat Letak Kerja.

Istiadat Letak Kerja di Balai Besar, di sini berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah sebagai penzahiran tanda perkenan Sultan Kedah memulakan Istiadat Pertabalan Baginda.

Sebelum itu, lagu Allah Selamat Sultan berkumandang selepas keberangkatan tiba Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff ke Balai Besar.


SULTAN Sallehuddin berkenan bersalaman dengan sebahagian daripada 29 kakitangan Majlis Daerah Sik.

Turut berangkat hadir menyaksikan istiadat ialah Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Arif Ibni Sultan Sallehuddin, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan isteri Che Puan Muda Zaheeda.


KETUA Istiadat Diraja, Dato’ Bijaya Indera Dato’ Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah mengetuai perarakan masuk.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria dan pemimpin kerajaan negeri.


SEMBILAN Batil Perak berisi sembilan jenis bunga dibawa Pawai Diraja yang terdiri daripada kerabat Diraja Kedah.

SERAMAI 29 orang kakitangan Majlis Daerah Sik berpakaian hulubalang bagi memeriahkan suasana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 11:00 AM