DATUK Seri Najib Razak. FOTO Zunnur Al Shafiq
Farah Marshita Abdul Patah


DATUK Seri Najib Razak, hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini, untuk membayar ansuran ikat jamin RM1 juta bagi kesnya di Mahkamah Sesyen, semalam.

Jumlah itu adalah permulaan ansuran daripada ikat jamin RM3.5 juta selepas dia didakwa atas 25 tuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Bayaran itu susulan perintah Hakim Azura Alwi, yang membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib supaya jaminan sebanyak RM3.5 juta dibayar secara berperingkat sebanyak RM500,000 bermula hari ini dan diselesaikan sehingga 28 September ini.

Bekas Perdana Menteri itu tiba di kaunter bayaran jamin kira-kira 10.55 pagi dengan memakai kemeja merah jambu dan tersenyum sebaik disapa wakil media yang sudah menunggu seawal 8 pagi.

“Saya sudah membayar ikat jamin yang diperintahkan Mahkamah Sesyen semalam,” katanya sebelum meninggalkan kompleks bangunan kira-kira 11 pagi.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika ditanya siapa yang menjadi penjamin Ahli Parlimen Pekan itu, beliau menjawab: “Anak lelakinya, Mohd Nizar.”

Najib didakwa atas empat pertuduhan rasuah sebagai Pegawai Badan Awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi empat pertuduhan rasuah salah guna kuasa itu, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2,282,937,678.41 menerusi beberapa transaksi yang berlaku di antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Bagi semua kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di tempat sama antara 2 Ogos 2013 sehingga 14 Ogos 2013.

Bagi semua kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 1:28 PM