Muhammad Mustakim Ramli


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 435 haiwan eksotik termasuk sepasang anak Orang Utan yang cuba diseludup di perairan Kuala Perlis-Langkawi dekat Kangar, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromanian berkata, dalam kejadian 12.25 tengah malam itu, pihaknya menahan bot nelayan dinaiki tiga suspek warga Indonesia berusia antara 40 hingga 50 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka mempunyai dokumen perjalanan sah, sebelum pemeriksaan lanjut menemui 39 kotak mengandungi 435 haiwan pelbagai spesis.

“Mereka gagal mengemukakan dokumen serta memberikan bukti berkaitan haiwan yang cuba dibawa masuk berkenaan,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Marin Kastam, Kangari, hari ini.

Antara haiwan yang dirampas ialah anak Orang Utan, anak musang albino, burung cenderawasih, burung alba cockatoo, burung electus parrot, burung bayan nuri, burung kuang raya, anak buaya dan sugar glider.

Berdasarkan penilaian Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Perlis, semua haiwan terbabit dikategorikan sebagai spesis terlarang dan termahal dianggar bernilai jutaan ringgit.

Subromanian berkata, suspek dipercayai membawa haiwan itu dari Sumatera, Indonesia untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

“Taktik penyeludupan menggunakan jalan laut ini mengambil masa dua hari tiga malam dari Sumatera untuk sampai ke perairan Kuala Perlis-Langkawi.

“Semua suspek serta haiwan yang dirampas diserahkan kepada PERHILITAN Perlis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 8:30 PM
PEGAWAI penguatkuasa PERHILITAN, Muhammad Faeshal Amin Fikhri, 25 ,(kanan) bersama Nadzatul Nattassha Mustapa, 35 , (dua kanan), mendukung Orang Utan yang dirampas JKDM di perairan Kuala Perlis. FOTO Hafizudin Mohd Safar