Hazrul Nizam (paling kiri) meninggal dunia ketika mendaki Gunung Berembun bersama 26 orang pendaki lain di Jelebu. (Gambar kecil) Anggota bomba dan penyelamat membawa turun jenazah mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


LELAKI meninggal dunia ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Berembun di Jalan Pantai, di Seremban hari ini.

Hazrul Nizam Mohd Haranlani, 41, yang juga seorang pegawai kastam dikatakan pengsan dalam pendakian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.44 pagi.

“Sehubungan itu 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban dan Senawang dikerahkan ke gunung berkenaan.

“Sebaik tiba jam 12.10 tengah hari, anggota memulakan pendakian dan menemui mangsa pada paras 1,200 meter dari aras laut.

“Ketika ditemui lelaki itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Norazam berkata, mayat mangsa kini masih dalam perjalanan turun oleh anggotanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, Hazrul Hizam menyertai ekspedisi itu bersama 26 rakannya dan mula mendaki gunung setinggi 2,077 meter dari aras laut itu pada jam 7 pagi.

“Buat masa ini mayat mangsa yang berasal dari Putrajaya sedang dibawa turun,” katanya.

Menurutnya, mayat akan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di Seremban untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 9:12 PM