ATLET Terengganu berarak ke dalam Stadium Perak pada Upacara Penutupan SUKMA Perak 2018, malam tadi sambil memegang kertas tertera 56 iaitu jumlah pingat emas dimenangi mereka untuk muncul juara. FOTO Abdullah Yusof
ATLET Terengganu berarak ke dalam Stadium Perak pada Upacara Penutupan SUKMA Perak 2018, malam tadi sambil memegang kertas tertera 56 iaitu jumlah pingat emas dimenangi mereka untuk muncul juara. FOTO Abdullah Yusof
Malik Muhamad


MENTERI Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengisytiharkan cuti peristiwa bagi negeri Terengganu pada 30 September ini susulan kejayaan kontinjen negeri merangkul juara keseluruhan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19 di Perak yang melabuhkan tirainya, malam tadi.

Beliau berkata, cuti peristiwa itu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada semua pegawai dan atlet SUKMA serta rakyat Terengganu yang turut sama menyokong kejayaan kontinjen negeri meraih 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa untuk mengumpul keseluruhan 160 pingat.

“Pihak kerajaan negeri merakam ucapan tahniah dan syabas kepada kontinjen Terengganu yang diketuai Samiun Salleh selepas beraksi cemerlang dengan kutipan pingat berkenaan, sekali gus dinobatkan sebagai juara SUKMA 2018.

“Tahniah juga kepada Azreen Nabila Alias yang menerima Anugerah Atlet Wanita Terbaik Olahragawati SUKMA Perak 2018.

“Kejayaan kontinjen Terengganu merampas kembali gelaran juara SUKMA ini, sekali gus melunaskan slogan ‘Win Back Mission’ yang ditetapkan kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT),” katanya yang mengucap tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam catatan sejarah ini.

Terengganu yang menduduki tempat ketiga SUKMA di Sarawak pada 2016 menjadikan sukan berbasikal sebagai lubuk emas apabila berjaya membolot 14 emas diikuti perahu layar lapan emas, judo lima emas dan olahraga empat emas.

Kejayaan muncul juara keseluruhan ini menyamai rekod diraih sebelum ini apabila muncul juara SUKMA empat kali berturut-turut bermula 2008 di Kuala Terengganu diikuti 2010 di Melaka, 2011 di Kuala Lumpur dan 2012 di Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 12:49 AM