PENGANTIN mendengar taklimat. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

“WALAUPUN sudah mempunyai enam anak hasil pernikahan mengikut adat Orang Asli, namun kami teruja seperti pengantin baharu apabila dinikahkan semula ikut cara Islam,” kata Faizal Anjang, 40, seorang penduduk Orang Asli Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang.

Dia antara 18 pasangan Orang Asli yang terbabit dalam Program Perkahwinan Perdana di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Linggi, semalam.

Program berkenaan dianjurkan bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu; Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Faizal berkata, dia mempunyai enam anak berumur 11 bulan hingga 13 tahun selepas berkahwin dengan isterinya, Lina Ismail, 31, mengikut adat Orang Asli, 14 tahun lalu.

Katanya, dia sudah memeluk agama Islam sejak 10 tahun lalu dan dimaklumkan pihak terbabit untuk dinikahkan semula.

“Kami adalah peserta pasangan tunggal yang sudah mempunyai anak, manakala peserta lain masih muda dan baharu merasai alam berumah tangga.

“Memang kami gembira dapat sertai program ini dan kami turut merasa seperti pasangan baru mendirikan rumah tangga,” katanya.

Perasmian penutup program itu disempurnakan Pegawai Dakwah Kanan MAIK, Siti Farahida Fauzi.

Seramai tiga jurunikah yang diketuai Pegawai Agama Jajahan Khairudin Mohamad terbabit dalam program itu.

Sementara itu, Mahadzirah berkata, program yang diadakan bersama masyarakat Orang Asli itu dianjurkan untuk memberi pengalaman kepada penuntut UniSZA.

“Kita dapat mengeratkan persaudaraan dengan masyarakat Orang Asli dan memberi keceriaan menganjurkan pernikahan secara beramai-ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 3:55 PM