Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my

NIAT suci seorang siak mengerjakan solat sunat sebelum masuk waktu Subuh bertukar duka apabila motosikalnya dicuri seorang lelaki di Masjid Sungai Seluang, Lunas, di Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun datang ke masjid dengan menunggang Honda EX5 sebelum menunaikan solat sunat dan membuat persiapan mengerjakan solat Subuh.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, tidak lama kemudian mangsa mendengar bunyi bising di luar masjid dan keluar untuk melakukan pemeriksaan.

Katanya, mangsa kemudian terkejut melihat seorang lelaki cuba mencuri motosikalnya dan dia cuba menghalang perbuatan itu, namun gagal apabila suspek bertindak membawa lari motosikal selepas dapat menghidupkan enjinnya.

“Siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek berkemungkinan bukan berasal dari kawasan Lunas.

“Usaha mengesannya kini sedang dilakukan anggota di Balai Polis Lunas yang diketuai Inspektor Zulkipli A Rahim," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 5:17 PM
RAKAMAN dari CCTV masjid berkenaan.