DANYAL Balagopal Abdullah. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


BEKAS Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah akan memberikan penjelasan mengapa mengosongkan kerusi berkenaan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

Beliau berkata, penjelasan itu akan diadakan di daerah Port Dickson bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lagi dua atau tiga hari saya akan adakan sidang media dan akan jelaskan semuanya,” katanya ketika ditemui pada Pesta Tanglung Peringkat Port Dickson 2018 di Gelanggang Petanque Pantai Batu 1 di Port Dickson, malam tadi.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Terdahulu Danyal Balagopal mengumumkan akan mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.

Danyal berkata, walaupun akan mengosongkan kerusi itu, tetapi dia masih akan berada di daerah ini bagi menjaga kebajikan masyarakat.

Apabila ditanya sama ada memperoleh sejumlah wang jika meninggalkan kerusi itu, beliau berkata terpulang pada masyarakat untuk membuat sebarang dakwaan.

“Terpulang kepada orang nak cakap apa. Saya akan terangkan semuanya pada sidang media itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 10:45 PM