GAMBAR hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

PELAJAR maut, manakala rakannya patah tangan kiri apabila kenderaan jenis Nissan Fairlady yang dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 13.6 Jalan Kuala Sepetang-Taiping, berhampiran Larut Tin, di Taiping, malam tadi.

Dalam kemalangan 11.30 malam itu, pemandu, Muhammad Qhairuldin Shah Yaakop ,17, dari Taman Pengkalan Cemerlang, Simpang, maut di lokasi kejadian.

Sementara, rakannya, Ahmad Aliff Nurzikry Ahmad Hazlie, 16, dari Taman Anjung Semar, Taiping, parah selepas tangan kirinya patah.

Difahamkan, kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dinaiki akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki dari arah Taiping menghala Simpang terbabas dengan sendiri dan merempuh pembahagi jalan di lokasi kejadian.

“Mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat, manakala mangsa yang parah dibawa ke hospital sama untuk tindakan susulan,” katanya, hari ini.

Mohamad berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Penolong Bomba Kanan (PBK) II, Mazli Mutallib berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati dua mangsa berada di atas jalan raya dipercayai tercampak dari kenderaan jenis Nissan Fairlady yang dinaiki mereka.

“Anggota memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum menghantarnya ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

“Mangsa yang maut pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan dan operasi tamat pada jam 11.55 malam tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 11:00 AM