ANWAR mejawab pertanyaan media selepas menyampaikan pidato khas sempena Seminar Malaysia Baharu di Wisma MUIS.
HM Digital

Kota Kinabalu: Individu atau pihak yang menimbulkan kekecohan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2018 akan dikeluarkan daripada parti.

Bagaimanapun, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Itu saya kata yang baling kerusi (timbul kekecohan) harus dibaling keluar dari parti. Tapi kena siasat dululah.

“Saya tidak tahu mungkin ada (unsur sabotaj) satu dua dalam kalangan yang tidak sesuai dalam parti,” katanya ketika ditanya kemungkinan ada elemen sabotaj dalam insiden kekecohan ketika proses pemilihan parti di beberapa negeri semalam.

Semalam, beberapa siri kekecohan berlaku pada proses pemilihan PKR termasuk di Pulau Pinang dan Kedah sehingga proses pemilihan itu ditangguh, termasuk yang dijadualkan di Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Anwar berkata demikian selepas menyampaikan pidato khas di Seminar Malaysia Baharu di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew.

Mengulas lanjut beliau berkata, mereka yang didapati melakukan kegiatan tidak wajar itu perlu dibuktikan dahulu sebelum dikeluarkan daripada parti.

Mengenai penangguhan pemilihan parti di beberapa negeri, Anwar berkata, ia bertujuan memantapkan sistem.

“Saya tidak mahu kecelaruan itu yang boleh menimbulkan permasalahan...saya sudah cakap dengan ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Rashid semalam,” katanya.

Terdahulu, dalam pertemuannya dengan pemimpin PKR Sabah, Anwar turut mengingatkan ahli dan pemimpin PKR tidak sombong ketika berkuasa.

“Kami dalam Pakatan Harapan diminta membawa perubahan. Jadi bila berkuasa, jangan sombong dan mendapatkan undi dengan membeli undi.

“Kami menang kerana rakyat sedar dan berharap (perubahan). Ini pertempuran dengan rejim lama yang percaya mereka boleh merampas, merompak, menindas dan boleh membeli rakyat serta kesetiaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 11:23 AM