SUSPEK yang ditahan polis. FOTO Ihsan Pembaca
SUSPEK yang ditahan polis. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Rizal Abdullah

SEMPAT menghubungi talian kecemasan mendakwa konon dirinya dikejar penduduk. Itu tindakan terdesak suspek pecah rumah sebelum dia ditahan penduduk di Pujut 7 di Miri, petang kelmarin.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, suspek lelaki berusia 30-an ditahan penduduk selepas menceroboh sebuah rumah di RPR Batu 6, pada hari sama.

Jurucakap Jawatankuasa Penduduk (JKP) Miri, Malateh Mahmud berkata, suspek dilaporkan menceroboh rumah berkenaan dan melarikan sebuah telefon bimbit milik penghuni rumah itu, pada 3 petang.

Bagaimanapun katanya, kejadian disedari penghuni rumah yang kemudiannya cuba mengesan suspek dibantu beberapa penduduk yang lain.

"Suspek berjaya dikesan berhampiran rumah berkenaan, bagaimanapun dia cuba melarikan diri.

"Malah, suspek sempat menghubungi talian kecemasan mendakwa kononnya dia dikejar penduduk," katanya.

Katanya, suspek akhirnya berjaya ditahan bersama telefon bimbit milik penghuni rumah terbabit.

"Suspek bertindak agresif dan turut berlaku pergelutan antara suspek dan penduduk sebelum dia berjaya ditahan," katanya.

Katanya lagi, suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 2:49 PM