Mujahid mendakwa Dr Zakir suka menghina dan mencaci agama lain bukan berdialog.
Nor Afzan Mohamad Yusof dan Mohamad Ridzuan Mohd Anwar
cnews@nstp.com.my

KAEDAH berdebat dengan merendah atau menghina agama lain tidak sesuai dengan Malaysia yang bertunjangkan kepelbagaian kaum dan etnik.

Sambil memberikan contoh mengenai kaedah diterapkan penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik yang sering dianggap merendahkan agama lain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kaedah itu tidak sesuai dengan budaya negara ini.

“Secara peribadi saya merasakan kaedah penyampaian atau dakwah Dr Zakir tidak sesuai, di mana kita tidak perlukan kaedah perdebatan yang mencaci agama lain, sebaliknya kita lebih sesuai dengan kaedah berdialog,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Seminar Kebangsaan Isu dan Cabaran dalam Hubungan Masyarakat Majmuk, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur hari ini

Turut hadir Ketua Pengarah IKIM, Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin.

Mujahid berkata, segelintir umat Islam suka merendahkan maruah agama lain dengan mengatakan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu, sedangkan Islam itu tidak membezakan sesiapa.

Katanya, Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mengaitkan sebarang bangsa dengan Islam.

“Jangan sempitkan fahaman kita kerana itu hanya akan menyebabkan orang lain berasa Islam itu sempit.

“Perkembangan dakwah dalam Islam juga tidak pernah mengamalkan cara mencerca dan merendahkan maruah agama lain.

“Islam tidak pernah mempraktikkan memaki hamun apatah lagi mencerca agama lain,” katanya.

Beliau menegaskan umat Islam tidak seharusnya terhimpit dengan perkauman sempit kerana ia akan menghalang perpaduan kaum yang wujud di negara ini.

Tegas beliau, sebagai negara majmuk umat Islam seharusnya menerima perbezaan itu dengan berfikiran terbuka dan saling memahami antara satu sama lain.

Katanya negara ini tidak wujud secara spontan malah ia terbina daripada pelbagai kaum, agama dan etnik.

“Kepelbagaian ini seharusnya kita terima dengan baik dan tidak anggap ia sebagai suatu musibah atau kecelakaan sebaliknya suatu hakikat yang perlu kita tangani dengan baik sebagai rakyat.

“Kalau kita fahami susur galur itu, kita akan terheret dengan masalah lebih besar iaitu perkauman sempit yang secara langsung menunjukkan Islam itu sempit yang menjadikan kita terhimpit,” katanya.

Mujahid berkata sebagai kerajaan baharu, peranan dimainkan tidak sekadar menjaga Islam tetapi lebih daripada itu memastikan keharmonian negara terpelihara.

Beliau arif mengenai perkara berkenaan dan Malaysia baharu yang dilaungkan bermaksud tekad untuk mengembalikan keaslian kendiri masyarakat negara ini yang sebelum ini ‘dirompak’ hingga menyebabkan ia memberi implikasi tidak baik kepada masyarakat.

“Malaysia baharu bukan bermakna kita mahu lupakan sejarah atau membuang segala peruntukan dalam perlembagaan sebaliknya memperbaharui apa yang seharusnya diperoleh rakyat.

“Rakyat boleh pilih sama ada kekalkan kehendak mengiktiraf kepelbagaian itu sebagai identiti atau biarkan perkauman sempit membelenggu minda yang nyata tidak memberi sebarang manfaat,” katanya.

Sementara itu Azizan, berkata sejak ditubuhkan pada sejak tahun 1992 pihaknya sudah mengadakan lebih daripada 60 dialog berhubung agama di dalam dan luar negara yang antara lain bertujuan memberi kefahaman antara masyarakat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 3:18 PM