Murni Wan Omar


UMNO memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut wang RM116.7 juta milik mereka yang dirampas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh dalam kenyataannya mengesahkan perkara itu memberitahu pernyataan tuntutan difailkan pada 20 September lalu manakala writ saman dikemukakan keesokkannya atas arahan anak guamnya.

Menurutnya, pihaknya sudah menyerahkan writ dan pernyataan tuntutan itu kepada semua defendan pada 21 September lalu.

Semua defendan mempunyai tempoh 14 hari daripada tarikh penyerahan itu untuk memasukkan kehadiran mereka.

Sementara itu, Hariharan ketika dihubungi mengesahkan saman terbabit dikemukakan melalui Datuk Seri Abd Rauf Yusoh sebagai pegawai awam UMNO dan plaintif dalam kes itu.

Melalui dokumen yang diperoleh, mereka menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Sakri Arifin, Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK R Rajagopal, Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, Ketua Polis Negara dan Kerajaan sebagai defendan.

Kes itu sudah ditetapkan untuk pengurusan di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom pada 9 pagi 15 Oktober ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, UMNO antara lain memohon deklarasi bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilaksanakan pada 17 Mei 2018 di premis adalah salah di sisi undang-undang.

UMNO memohon perintah untuk pemulangan semula wang RM116.7 juta kepada mereka.

Mereka juga memohon perintah untuk pemulangan wang jumlah RM43.3 juta iaitu perbezaan jumlah RM160 juta dan RM116.7 kepada UMNO.

Selain itu, mereka memohon ganti rugi am, teruk dan teladan.

Plaintif mendakwa UMNO adalah pemilik wang RM160 juta itu dan defendan secara salah mengganggunya dengan menyita secara tidak sah dan merampas serta mengambil alih pemilikan dana itu.

Plaintif mendakwa walaupun UMNO sudah menuntut pengembalian dana itu, namun defendan gagal, cuai dan enggan berbuat demikian.

Akibat daripada tindakan semua defendan itu, plaintif mendakwa UMNO kehilangan hak untuk menggunakan dana terbabit serta mengalami kehilangan dan kerugian.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa UMNO yang ditubuhkan pada 1946 adalah pengasas parti gabungan Barisan Nasional (BN) dan membentuk kerajaan Malaysia sehingga 9 Mei 2018.

Abd Rauf mendakwa UMNO memberi kuasa kepada Presidennya untuk memperoleh sumber dan menguruskan dana/derma untuk parti itu yang antara lainnya bertujuan untuk pilihan raya.

Menurut Abd Rauf, dana pilihan raya dipegang oleh Presiden UMNO sebagai pemegang amanah dan tiada pegawai atau ahli dalam parti itu yang mempunyai akses atau pengetahuan penuh berkenaan dana berkenaan.

Beliau mendakwa baki dana pilihan raya bersama-sama dengan aset lain diserahkan oleh Presiden UMNO yang terdahulu kepada presiden akan datang.

Sebelum pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri yang keenam pada 3 April 2009, sebuah bilik kebal dibina di kediaman rasmi di Seri Perdana, Putrajaya.

Menurutnya, bilik kebal itu digunakan oleh perdana menteri yang berkhidmat pada masa material untuk menyimpan dana pilihan raya.

Abd Rauf mendakwa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebanyak RM160 juta adalah baki dana pilihan raya yang juga milik UMNO dan dipegang oleh Najib sebagai pemegang amanah.

Beliau mendakwa selepas PRU14, bagi memastikan keselamatan dana, Najib meletakkan dana itu di sebuah apartmen di Pavilion Residence, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur dengan persetujuan pemilik premis iaitu OBYU Sdn Bhd.

Beliau juga mendakwa, selepas itu hanya Nahib mempunyai milikan eksklusif ke atas premis berkenaan.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata bahawa wang tunai, termasuk mata wang asing yang dirampas polis dalam beberapa serbuan di ibu negara adalah milik UMNO dan mahu ia dikembalikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 8:14 PM