Mohd Hafizee Mohd Arop

MAHKAMAH Sesyen Taiping memerintahkan pekerja kilang membela diri atas pertuduhan mencabul ibu kandungnya pada 8 Mac tahun lalu.

Hakim Che Noralashiken Abd Razak membuat keputusan itu terhadap tertuduh berusia 22 tahun selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh sebelum ini didakwa atas kesalahan merogol ibu kandungnya itu, namun di akhir kes pendakwaan hari ini, pertuduhan itu dipinda kepada kesalahan mencabul.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, tertuduh yang bekerja di sebuah kilang tayar di Taiping, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap ibunya yang berusia 50 tahun di rumah mereka di Kamunting, Taiping, 7 malam pada hari berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Oktober ini untuk perbicaraan peringkat kes pembelaan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh

Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Kathan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 1:26 PM
TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO Muhaizan Yahya