SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. FOTO Ihsan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar murka dengan tindakan Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia dalam urusan surat rasmi MBIP.

Dalam satu kenyataan dimuat naik dalam Facebook (FB) rasminya, baginda bertitah, apa sahaja surat rasmi sama ada membabitkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor harus ditulis dalam Bahasa Malaysia.

“Apa sahaja urusan surat menyurat membabitkan kerajaan negeri atau Ahli Majlis PBT semuanya mesti dalam Bahasa Melayu kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia berkaitan pemakluman mesyuarat.


SURAT rasmi MBIP dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memperuntukkan segala urusan rasmi menggunakan bahasa Malaysia. FOTO Ihsan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

“Bila masa dalam negeri Johor surat rasmi ditulis dalam dua bahasa?,” titahnya mengulas tindakan Ahli Majlis itu yang menggunakan Bahasa Mandarin dan Inggeris dalam surat rasmi urusan PBT berkenaan.

Surat yang menggunakan kepala surat Ahli Majlis MBIP itu adalah bagi memaklumkan mengenai sebuah majlis dialog.

Ia tular dalam laman media sosial dan turut dimuat naik oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam laman sosial Instagram miliknya.

Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak harus menghormati penggunaan Bahasa Malaysia dalam sebarang urusan surat rasmi berkaitan kerajaan negeri dan PBT yang sudah diguna pakai sejak dahulu di Johor.

“Saya sarankan kepada Ahli Majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya, jangan pisang berbuah dua kali,” titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 4:14 PM