Keadaan motosikal Khoo Eng Chai (gambar kecil) yang remuk selepas berlanggar dengan Honda Odyssey di Lebuhraya Linkedua, Johor Bahru, awal pagi ini. (Gambar kecil) FOTO Ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


PENUNGGANG motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 5.1, Lebuhraya Linkedua arah selatan, Johor Bahru, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, Khoo Eng Chai, 37, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kira-kira lima jam selepas kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal Yamaha YZF-R25 dari arah Johor Bahru ke Singapura itu mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong paling kiri.

“Selepas mengubah haluan, penunggang motosikal itu dilanggar Honda Odyssey yang bergerak pada arah yang sama. Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tercampak hampir 50 meter dan cedera di bahagian kepala serta badan.

“Pemandu Honda Odyssey itu melarikan diri dari lokasi kejadian dengan meninggalkan kenderaan yang remuk di tepi jalan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke HSA untuk mendapatkan rawatan sebelum adiknya datang ke Balai Polis Trafik Iskandar Puteri bagi memaklumkan mangsa meninggal dunia pada jam 6.45 pagi.

Katanya, hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian lelaki warga tempatan yang bekerja di Singapura itu adalah akibat kecederaan di kepala.

“Kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha mengesan pemandu MPV berkenaan sedang giat dijalankan memandangkan identitinya belum dapat dikenal pasti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 4:51 PM