Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Seremban meminta bantuan orang ramai mengesan ibu atau waris dua bayi perempuan yang ditinggalkan di dua hospital di Seremban, Negeri Sembilan bagi membincangkan hak penjagaan mereka.

Pegawai JKM daerah, Mustafal Bakri Mohammad Yusof, berkata seorang bayi diberi nama Ainul Mardhiah Abdul Hakim, dilahirkan pramatang di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, pada 27 Julai lalu.

Beliau berkata, ibunya yang dikenali sebagai Nazira Abdullah yang juga seorang mualaf, meninggalkan anaknya selepas menerima rawatan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Seremban meminta orang ramai membantu mengesan serta mencari ibu kandung atau waris kepada bayi, Ainul Mardhiah Abdul Hakim yang ditinggalkan di sebuah hospital di Seremban. NSTP/Ihsan JKM

“Seorang lagi bayi yang diberi nama Victoria Grace, ditinggalkan ibunya di ‘baby hatch’ Hospital Pakar KPJ Seremban pada 8 Ogos lalu. Ibunya hanya meninggalkan nota memaklumkan anaknya lahir pada 13 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Seremban meminta orang ramai membantu mengesan serta mencari ibu kandung atau waris kepada bayi, Victoria Grace yang ditinggalkan di sebuah hospital di Seremban. NSTP/Ihsan JKM

Mustafal berkata, ibu atau waris kedua-dua bayi itu diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak JKM daerah Seremban, Norsahrisalina Nordin atau Nurlinda Rozak di talian 06-6015819 atau emel [email protected] bagi menguruskan hak penjagaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 5:32 PM