PETIKAN rakaman video menunjukkan suspek mendekati keluarga selepas membunyikan hon secara berulang kali. FOTO Facebook
Audrey Dermawan


POLIS menahan operator kilang yang dipercayai terbabit dalam kes buli jalan raya di bulatan Bayan Indah berhampiran Queensbay Mall di Balik Pulau, dengan video yang mempamerkan aksinya itu tular di laman sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, lelaki berusia 30 tahun yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu ditahan di Teluk Kumbar, 12.15 tengah hari tadi.

“Suspek dipercayai mendekati keluarga yang memandu kereta di hadapannya, selepas membunyikan hon secara berulang kali.

“Dia bertindak memintas dan berhenti di hadapan kenderaan mangsa. Suspek kemudian memarahi mangsa, sebelum menyepak cermin sisi kenderaan dan merampas telefon bimbit milik mangsa serta isterinya.

“Dia juga menarik rambut isteri mangsa, sejurus pasangan suami isteri terbabit meminta telefon bimbit mereka dipulangkan, selain wanita berkenaan dilapor mengalami bengkak di bahagian jari ekoran kejadian itu,” katanya dalam kenyataan di Balik Pulau, hari ini.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun memulangkan telefon bimbit milik pasangan terbabit selepas orang ramai berjaya meleraikan situasi berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati, suspek mengaku berbuat demikian, selain dia tidak memiliki rekod jenayah lampau.

“Suspek dijangka direman di Mahkamah Balik Pulau di sini, esok, bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

Semalam, video berdurasi 50 saat yang mempamerkan kejadian berkenaan, tular di laman sosial.

Sementara itu, seorang wanita dikenali Nana Tan berkongsi pengalaman mencemaskan itu di laman Facebook miliknya dengan menjelaskan kejadian itu berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan ke sebuah pusat membeli-belah.

Ketika kejadian, katanya, suaminya memandu kereta secara perlahan, selain turut membawa dua anak mereka sebelum kenderaan mereka dipintas oleh suspek.

“Saya menjerit meminta dia (suspek) memulangkan telefon bimbit, selain menegaskan akan melaporkan kejadian ini kepada pihak polis.

“Dia kemudian memukul saya di bahagian tangan dan kepala hingga mengalami kecederaan. Kami kemudian terus ke balai polis berhampiran sejurus kejadian berkenaan berjaya dileraikan.

“Saya merayu kepada orang ramai untuk membantu mengenal pasti suspek kerana kereta dinaikinya didaftarkan atas nama seorang perempuan, selain nombor telefonnya gagal dihubungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 7:56 PM